Tips Temuduga – Jangan buat!

Info Kerja Kerajaan di www.informasi2u.com

Info Kerja Kerajaan di www.informasi2u.com

Tips Temuduga – Elakkan perkara-perkara berikut

1) TIDAK ADA PERSEDIAAN

 Anda perlu tahu aktiviti atau jenis perniagaan yang dijalankan bakal majikan anda. Ianya amat penting kerana ia menjadikan anda calon yang berpengetahuan.

Anda perlu tahu sedikit informasi bagaimana bakal majikan anda menjana pendapatan, produk yang mereka jual, pesaing mereka, budaya kerja di pejabat dan jika anda mahu lebih bersedia, ketahui sekali masalah bakal majikan anda agar anda boleh meyakinkan mereka bahawa andalah calon yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut.

Ringan-ringankan tulang anda melayari laman web bakal majikan anda dan buat kajian mengenai jawatan yang bakal anda sandang.


2) TIDAK MEMBUAT LATIHAN TEMUDUGA

 Banyak kes didapati calon menjadi kelu dan tergagap-gagap apabila berkomunikasi dengan penemuduga. Mengapa ini terjadi?

Disarankan, sebelum temuduga calon membuat senarai soalan yang berkemungkinan akan disoal dan cara untuk menjawabnya.

Bagaimana untuk membuat soalan? Mudah sahaja.

Letak diri anda ditempat penemuduga, apa yang anda ingin soal kepada calon seperti anda. Anda buat jawapannya sekali.

Berlatihlah bersama rakan. Dinasihatkan berlatih dengan serius seperti di dalam bilik temuduga yang sebenar. Anggap rakan anda itu penemuduga yang anda tidak pernah jumpa sebelum ini.

Seeloknya, berlatihlah di hadapan cermin agar dapat melihat mimik muka anda. Cari mimik muka anda yang bersesuaian, tenang, positif, ceria dan penuh keyakinan.

Anda juga perlu berlatih dalam berbahasa Inggeris. Tidak kira anda memohon jawatan di sektor swasta atau awam. Pastikan bahasa anda mudah difahami.

 

3) TIDAK MEMAKAI PAKAIAN YANG SESUAI

 Imej juga amat penting bagi menilai diri anda sebagai bakal pekerja. Pandangan pertama penemuduga bakal memberikan keputusan tidak rasmi tentang diri anda.

Penemuduga akan melihat cara anda berpakaian yang mana ianya sesuai atau tidak anda memegang jawatan yang ditawarkan.

PENTING!

Jangan sesekali berpakaian yang tidak sesuai seperti t-shirt, jeans, skirt pendek yang menjolok mata, pakaian yang berwarna terang, berkasut sukan dan berselipar.

Anda disarankan berpakaian sopan, berwarna lembut, bersih, berbau segar dan bergosok. Pakaian yang digalakkan seperti kemeja, baju kurung atau skirt labuh. Calon wanita disarankan bersolek sederhana dan jangan memakai pewangi yang terlalu kuat baunya. Calon lelaki hendaklah bertali leher dan stokin jangan dilupa.


4) TIDAK MENJAGA PENAMPILAN

Seorang calon itu hendaklah berterampilan unggul, wajah hendaklah ceria, bersemangat dan bertenaga ketika menghadiri temuduga.

Walaupun anda tidak cukup tidur atau anda demam selesema, anda hendaklah sentiasa kelihatan segak dan bertenaga. Cuba sedaya upaya agar anda tidak kelihatan lemah.

Sekiranya anda kelihatan lemah peratusan untuk anda lulus temuduga amat rendah sekali.

5) BERSIKAP ATAU BERFIKIRAN NEGATIF

 Sekiranya fikiran anda penuh dengan unsur negatif, tiada sesiapa pun akan dapat membaca bakat dan potensi yang anda miliki. Sekiranya imej dan penampilan anda nampak segak dan menawan tetapi anda penuh dengan fikiran negatif, anda pasti akan gagal.

Apa yang boleh anda buat sekiranya anda berfikiran negatif ialah

Berlatih menjawab soalan yang anda jangkakan akan disoal. Berlatih sehingga anda berasa yakin semula.

Baca resume anda agar dapat dapat menyemak pencapaian, kebolehan dan pengalaman anda.

Tarik nafas panjang-panjang beberapa kali.

Membaca doa memohon agar ditenangkan hati dan fikiran.

 

6) LAMBAT DATANG

 Sekiranya anda lambat datang untuk ke temuduga, anda sudah pasti digambarkan oleh bakal majikan anda sebagai orang yang tidak menepati masa.

Penemuduga akan berfikir anda pasti akan melakukan perkara yang sama sekiranya anda terpilih. Oleh yang demikian, pastikan anda datang tepat atau awal dari masa yang ditetapkan.

Lambat datang akan mendorong kesan negatif kepada imej anda. Anda semestinya akan kelihatan gopoh, cemas, berpeluh dan busuk (ketiak basah).

Sekiranya anda datang awal, anda mempunyai masa untuk menenangkan hati dan kelihatan segar serta berkeyakinan.

NOTA TAMBAHAN

Namun sekiranya anda mengalami kecemasan seperti kemalangan anda disarankan menghubungi bakal majikan dan berterus terang bahawa anda menghadapi kemalangan.

Anda hendaklah memohon maaf kerana tidak dapat hadir untuk temuduga dan memohon agar anda diberikan peluang untuk ditemuduga pada hari yang lain.

Sekiranya, tidak dapat maka jangan sesekali sesalkan diri anda kerana malang tidak berbau dan mungkin ianya bukan rezeki anda di sana.

 

7) DATANG TERLALU AWAL

Datang awal untuk temuduga sememangnya baik namun ada juga kecacatannya. Jangan jadikan diri anda sibuk membaca nota-nota pada saat akhir. Ia kelihatan seolah-olah anda belum bersedia dan cemas.

Yakin dengan apa yang anda telah pelajari untuk menghadapi temuduga tersebut. Tarik nafas panjang-panjang, tenang fikiran dan kalau boleh pergilah duduk di taman (sekiranya ada) lihat pemandangan yang menyegarkan. J

 

8) MEMBAWA TEMAN BERSAMA

Jangan sesekali membawa teman seperti ibu bapa, saudara mara dan kawan karib anda. Hal ini akan menggambarkan diri anda seorang yang manja dan tidak boleh berdikari.

 

9) NAMPAK TERLALU GEMENTAR

Sekiranya anda kelihatan gementar anda akan dianggap sebagai seorang yang tidak boleh bertahan dengan tekanan.

Sekiranya jawatan yang anda mohon itu memerlukan anda menghadapi tekanan dan anda gementar ketika temuduga, konfem anda telah menghadapi kegagalan.

Anda harus tahu bahawa sikap gementar itu harus tidak ada di dalam diri seorang pekerja kerana dunia kerjaya pada zaman sekarang memerlukan daya saing dan cabaran yang tinggi.

Serlahkan keyakinan diri anda agar anda dilihat bakal majikan anda sebagai seorang yang dapat membuat kerja dan mengharungi tekanan dengan tenang.

10) MAKAN GULA-GULA ATAU MENGUNYAH GULA GETAH.

Jika anda berani makan gula-gula atau menguyah gula getah di hadapan penemuduga, anda pasti gagal temuduga tersebut.

Anda menunjukkan keyakinan anda tidak bertempat!

Penemuduga akan melabel anda sebagai seorang yang biadab dan tidak sopan. Seeloknya anda habis makan gula-gula sebelum anda dipanggil ke bilik temuduga. Memakan gula-gula seperti perisa mint amat baik agar nafas anda segar dan wangi.

 

11) JADI SEORANG YANG TERDESAK

Jangan sesekali menjadikan diri anda terdesak untuk mendapatkan jawatan tersebut. Penemuduga dapat mengesan diri anda yang terdesak.

Anda haruslah tenang dan menjadi diri anda yang sebenar iaitu tidak terpengaruh pada diri anda yang anda mesti mendapatkan jawapan tersebut.

Jangan sesekali mengiyakan atau bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh penemuduga walaupun tidak logik. Anda akan dilabel sebagai seorang ‘pak turut’.

Anda juga tidak harus mengangguk-anggukkan kepala setiap kali penemuduga bercakap. Jangan sesekali cakap semuanya okey / boleh beres tanpa mengetahui atau memahami apa yang akan/perlu dilakukan oleh anda.

Jangan sesekali mengatakan bahawa anda boleh melakukan apa jua kerja walaupun sesuatu yang tidak masuk akal.

Penemuduga akan berasa tawar hati pada calon yang terdesak.

 

12) SALAMAN YANG MEYAKINKAN

 Anda digalakkan untuk bersalaman dengan penemuduga. Namun elakkan bersalaman jika berlainan jantina.

Cukup sekadar melihat ke arah mata penemuduga dan senyum. Anda haruslah menghulurkan salaman tangan dengan genggaman yang meyakinkan.

Genggaman yang berkeyakinan menandakan anda seorang calon yang layak untuk jawatan tersebut. Sekiranya genggaman anda lemah maka anda akan dianggap calon yang sambil lewa sahaja.

Penemuduga akan membuat andaian bahawa anda kurang berminat untuk jawatan tersebut atau hadir hanya sekadar memenuhkan kehadiran sahaja.

13) TERTINGGAL DOKUMEN PENTING

Seseorang calon tidak sesekali lupa untuk membawa dokumen penting. Dokumen-dokumen seperti sijil akademik amat penting untuk penemuduga menilai kelayakan anda.

Susunlah dokumen anda di fail yang sesuai dan mudah untuk penemuduga membacanya.

 

14) MENYEMBUNYIKAN MAKLUMAT

 Jangan sesekali menyembunyikan maklumat anda atau menyatakan maklumat palsu di dalam resume anda. Terutamanya apabila penemuduga ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kelayakan anda.

Penemuduga akan cenderung menelefon tempat rujukan anda seperti majikan anda sekarang atau terdahulu. Sekiranya anda didapati menipu dengan memberi maklumat palsu di dalam resume anda, penemuduga akan melabel anda seorang penipu.

15) JANGAN BERASA BOSAN DAN MENGELUH

 Anda datang dengan penuh berkeyakinan. Dokumen disediakan lengkap dan tersusun rapi. Melangkah ke bilik temuduga dengan baik. Anda menunjukkan imej seorang pekerja yang bakal diharapkan oleh bakal majikan anda. Anda berjaya menjawab soalan-soalan dengan baik.

Tetapi jangan sesekali berasa bosan apabila diajukan soalan yang banyak. Jangan mengeluh kerana ia melihatkan kepada penemuduga anda cepat bosan.

 

16) TIDAK MENDENGAR DENGAN TELITI

 Manusia dilahirkan dengan anugerah pendengaran yang baik. Sekiranya anda mengalami masalah pendengaran, jangan jadikan ia sebagai satu masalah kepada anda.

Berlatihlah dengan teman untuk mendengar dengan baik. Jika boleh gunakan deria penglihatan anda pula. Belajar membaca pergerakkan bibir. Ia amat bermanfaat.

 

Di dalam temuduga, sekiranya anda tidak mendengar dengan baik maka bakal majikan anda akan beranggapan bahawa anda mungkin mempunyai masalah untuk mendengar arahan ketika bekerja kelak.

 

Jangan sesekali anda menjawab ‘semberono’ walaupun anda tidak mendengar soalan yang diajukan kepada anda. Cubalah mendengar dengan teliti. Tenangkan fikiran agar tidak ada ‘suara halus’ bermain di dalam fikiran anda.

 

 

17) BERPURA-PURA TAHU

 Ketika diajukan soalan dan anda tidak tahu untuk menjawabnya. Anda disarankan berterus terang yang anda tidak boleh menjawab soalan tersebut.

Jangan sesekali berpura-pura kerana walaupun anda menjawab soalan tersebut tetapi dengan jawapan yang salah, sia-sia sahaja usaha anda itu. Anda gagal temuduga tersebut.

 

 

18) BERSIKAP BIADAP

 Anda hendaklah menunjukkan sifat yang baik:-

►Sebelum memasuki bilik temuduga anda hendaklah mengetuk pintu tanda meminta kebenaran untuk masuk. Salam penemuduga anda seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.

 

►Minta izin untuk duduk dan jangan duduk selagi tidak dibenarkan. Duduk dengan tegak. Jangan sesekali menyilang kaki anda kerana ianya satu perbuatan yang kurang sopan.

 

►Bercakap dengan baik, teratur dan jelas. Jangan mengeluarkan kata-kata kesat apabila anda diprovokasi oleh penemuduga. Kawal emosi anda.

 

►Jalinkan hubungan mata dengan penemuduga. Jangan memandang ke arah tempat lain ketika anda atau penemuduga bercakap.

 

►Setelah selesai sesi temuduga ucapkan terima kasih dan keluar dengan menutup pintu dengan perlahan. Jangan sesekali menghempas pintu.

 

19) MELALUT

Jangan sesekali melalut atau cakap ikut suka anda. Anda kena berhati-hati walaupun anda berasa yakin untuk menjawab soalan penemuduga.

Sekiranya anda menerangkan jawapan anda melebih-lebih ditokok tambah tanpa fakta yang betul, penemuduga akan dapat menghidunya dan beranggapan anda seorang yang tidak membuat kajian terlebih dahulu.

 

Berhati-hati, anda hendaklah mengambil masa anda dan fikir sedalam-dalamnya jawapan yang bakal anda berikan.

 

20) TELEFON BIMBIT BERDERING

 Sekiranya telefon anda berdering sememangnya anda seorang yang cuai dan tidak menghormati sesi temuduga tersebut.

Sila padamkan telefon bimbit anda sebelum masuk ke bilik temuduga.

Anda juga boleh memadam bunyi nada telefon bimbit anda dan jadikannya bergetar. Namun ada sesetengah telefon bimbit, getarannya boleh juga kedengaran. Oleh yang demikian seeloknya padamkan sahaja.

 

 

21) TIDAK DAPAT MENGEKSPRESIKAN DIRI

 Ekspresi diri anda dengan baik agar penemuduga dapat memahami apa yang anda sampaikan. Jangan kelam-kabut menjawab soalan dan susun ayat anda dengan baik.

 

22) BANGGA DIRI / BONGKAK

Jangan tunjukkan kebongkakan atau bangga diri.

Jangan sesekali mengatakan kepada penemuduga bahawa banyak calon majikan inginkan khidmat anda.

 

Anda menyatakan bahawa hanya anda yang mempunyai kepakaran dalam bidang yang dicarikan penemuduga dan mengatakan sekiranya anda gagal dalam temduga tersebut banyak lagi yang mahukan anda.

Anda melakukan kesilapan yang amat besar. Walaupun bukan niat anda untuk membangga diri tetapi cara ini tidak sesuai di mata penemuduga. Penemuduga semestinya tidak akan memilih anda kerana banyak lagi majikan lain mahukan anda.

Oleh yang demikian berhati-hatilah ketika menyampaikan informasi tentang diri anda.

 

 

23) MEMBERITAHU ANDA SEORANG PEMALAS KETIKA DI ALAM PERSEKOLAHAN

 Niat anda sememangnya ikhlas menjawab dengan jujur tetapi ianya akan memakan diri anda.

Jangan sesekali menceritakan anda tidak minat atau suka untuk membuat ‘assignment’ ketika di Universiti. Anda seorang yang malas untuk menjalinkan kerjasama dengan rakan untuk kerja berkumpulan.

Anda akan dianggap seorang yang pemalas. Cuba anda di tempat bakal majikan mahukah anda mengambil seorang pekerja yang pemalas? Semestinya tidak. Oleh itu, berhati-hati ketika bercakap.

 

 

24) KELEMAHAN DIRI ANDA TONJOLKAN

 Soalan yang selalunya akan ditanya kepada calon ialah “Apakah kelemahan diri anda?”

 

Jangan sesekali memberitahu kelemahan diri anda.

Soalan ini merupakan soalan yang menguji kebijaksanaan anda untuk menjawab. Sekiranya anda memberitahu kelemahan diri anda, penemuduga akan tersenyum kerana anda telah masuk ke jerat penemuduga dan dianggap membunuh diri anda sendiri.

 

25) ANDA SEORANG SAJA MENDAPAT NAMA

 Walaupun anda seorang yang pakar dalam membuat pekerjaan yang bakal diberikan tetapi seeloknya babitkan orang lain juga.

►Jangan sesekali menyatakan bahawa “Saya telah atau akan” buat itu ini.

►Gunakanlah perkataan “Kami” atau “Unit” agar dapat dilihat yang anda seorang yang bekerjasama dalam menjayakan sesuatu projek.

 

Biarlah semua yang terlibat mendapat nama. J

 

 

26) KEKUATAN DIRI ANDA

 Anda harus tahu kekuatan diri anda. Anda harus bersedia kerana penemuduga juga boleh menyoal “Apakah kekuatan diri anda?” Anda harus kenal diri anda sendiri.

Jangan sesekali tidak bersedia untuk menjawab soalan sedemikian kerana anda akan melabel sebagai anda tidak menjaga diri sendiri.

Sekiranya anda terkial-kial untuk menjawab soalan ini makan anda telah memusnahkan imej positif yang anda banggakan.

 

 

27) MENGANGGAP PENEMUDUGA SEBAGAI KAWAN ANDA

 Jangan sesakali bercakap dengan penemuduga seperti bercakap dengan kawan anda. Sila jaga bahasa anda.

 

Bertuturlah dengan baik walaupun penemuduga memulakan bicara dengan cara yang santai. Ingatlah bahawa penemuduga mahu menjerat anda dan berhati-hati agar anda tidak terpengaruh dengan taktik penemuduga itu.

 

Penemuduga akan menganggap anda mudah terpedaya. Awas.

 

 

28) TIDAK BERBAHASA INGGERIS

Sekiranya penemuduga bercakap dengan bahasa Inggeris cubalah bercakap sama. Ini kerana penemuduga akan melihat anda seorang yang berkebolehan berbahasa apabila bercakap di dalam bahasa Inggeris.

 

Namun, ada juga penemuduga akan memberitahu bahawa “Berikut adalah sesi berbahasa Inggeris” maka jawablah dengan berbahasa Inggeris.

 

Kebiasaannya penemuduga akan menyoal soalan mudah kerana mereka hanya ingin melihat cara dan gaya anda berbicara di dalam bahasa Inggeris.

 

Tetapi setelah anda dilihat petah berbahasa Inggeris anda jangan terkejut sekiranya disoal dengan soalan bertubi-tubi di dalam bahasa Inggeris. Sahutlah cabaran penemuduga tersebut dan teruskan bercakap di dalam bahasa Inggeris.

 

Ia akan menambah markah anda untuk diterima bekerja.

 

 

29) BERDIALEK ATAU SLANGA KETIKA BERKOMUNIKASI

 Tidak dinafikan bahawa negara kita mempunyai banyak bangsa namun kita harus menggunakan satu bahasa utama ketika di dalam temuduga.

 

Sekiranya penemuduga berbahasa Melayu maka cakaplah di dalam bahasa Melayu tanpa dialek. Sekiranya penemuduga berbahasa Inggeris maka berbahasa Inggeris.

 

Namun ramai calon gagal walaupun berbahasa Melayu kerana calon-calon tersebut menggunakan dialek. Calon-calon seperti dari negeri Kedah, Kelantan, Sarawak, Sabah dan lain-lain yang menggunakan dialek agak sukar untuk bertutur secara baku.

 

Elakkan perbuatan ini dengan berlatih berbahasa.

 

 

30) KURANG KEMAHIRAN DAN PENGETAHUAN

Sekiranya anda kurang mahir dan tidak tahu satu benda pun tentang jawatan yang anda pohon maka lebih baik anda TIDAK memohon jawatan tersebut.

 

Penemuduga sudah pasti sukar menerima anda kerana sekiranya anda sendiri ditempat bakal majikan anda pasti akan memilih orang yang mahir dan berpengetahuan untuk membuat kerja dengan berkesan.

 

 

31) BANYAK BERCAKAP DAN MEREPEK

Jangan sesekali menjadi mulut murai tidak berhenti untuk bercakap. Bukannya tidak baik anda bercakap banyak tetapi sila kawal dan tahu bila anda patut berhenti.

 

Ini kerana penemuduga berandaian sekiranya anda diterima bekerja anda bukkanya membuat kerja tetapi bercakap-cakap sahaja. Pot pet pot pet. Situasi ini tidak elok buat anda dan penemuduga.

 

32) TIDAK ADA SOALAN

Kebiasaannya sebelum penemuduga menamatkan sesi mereka akan menyoal anda “Anda ada sebarang soalan?” atau “Setakat ini anda ada soalan?”

 

Sila soal penemuduga anda. Jangan sesekali menjawab “Tidak ada”. Anda akan dianggap tidak berminat untuk berkomunikasi atau tidak ada sifat ingin tahu.

 

Penemuduga sebenarnya ingin melihat sama ada anda betul-betul berpuas hati dengan persembahan anda dan adakah anda betul-betul fokus untuk mendapatkan jawatan tersebut.

 

Bersifat ingin tahu itu amat penting maka sebelum hari temuduga buatlah soalan yang munasabah agar anda dilihat kreatif dan mahir berkomunikasi.

 

 

33) BERTANYAKAN FAEDAH UNTUK ANDA

 

Walaupun menyoal penemuduga itu digalakkan tetapi jangan sesekali menanyakan tentang gaji dan faedah-faedah yang bakal anda terima. Tunggulah sehingga anda diterima atau lulus temuduga tersebut.

 

Sekiranya anda menyoal perkara tersebut maka penemuduga akan melihat anda hanya fokus mengenai gaji dan faedah tetapi bukan berkhidmat untuk mereka. Jangan sesekali berbuat demikian!

 

 

34) MEMINTA GAJI YANG TINGGI

 

Jangan sesekali meminta gaji yang tidak masuk akal. Anda akan pasti tidak diterima untuk bekerja. Sekiranya penemuduga bertanya berapakah gaji yang anda minta, jangan sesekali menyatakan jumlahnya.

 

Cubalah jawab anda sanggup menerima gaji seberapa jua mengikut kelayakan yang bakal majikan anda fikir layak.

 

Soalan ini selalunya memerangkap calon sehinggakan mereka lupa yang tujuan sebenar adalah lulus temuduga tersebut. Soal gaji bolehlah anda fikir selepas anda terpilih.

 

 

 

 

 

35) BERCERITA SOAL POLITIK, AGAMA DAN ISU YANG SENSITIF

 

Cuba elak bercerita tentang politik, agama dan isu-isu yang boleh memudaratkan anda. Kadang kala penemuduga cuba untuk melihat sekiranya anda seorang yang aktif berpolitik atau tidak kerana berpolitik boleh membinasakan prestasi kerja anda kelak.

 

 

36) PENDAPAT YANG OFFENSIVE

 

Bakal majikan anda menerangkan anda mengenai kekuatan syarikat / jabatan / seseorang pegawai / mengenai produk keluaran mereka.

 

Jangan sesekali memberikan pendapat yang kurang enak didengar oleh bakal majikan anda.

 

Diamkan diri sahaja. Walaupun anda rasa komen anda membina namun hati dan perasaan bakal majikan anda siapa yang tahu.

 

 

37) ADA KENALAN DI DALAM

 

Jangan sesekali memberitahu bahawa anda mengenali seseorang di tempat bakal majikan anda. Sekiranya anda memberitahu juga besar kemungkinan anda tidak akan berjaya temuduga tersebut.

 

Kenapa? Anda mungkin tidak sedar orang yang anda kenal itu kemungkinan telah banyak menyusahkan penemuduga atau seorang yang tidak disenangi oleh penemuduga.

 

Penemuduga akan dengan cepat sekali mencantas anda dari layak untuk bekerja di tempat tersebut.

 

Oleh yang demikian sila berjaga-jaga.

 

 

38) MENGKRITIK BEKAS MAJIKAN ANDA

 

Anda akan semestinya disoal kenapa anda meninggalkan bekas majikan ?(sekiranya anda pernah bekerja)

 

Jangan sesekali menjawab dengan memburukkan bekas majikan anda.

 

Setiap kritikan anda terhadap bekas majikan anda akan dinilai oleh bakal majikan anda pula. Bakal majikan anda semestinya akan berfikir sekiranya anda berhenti juga suatu hari nanti mereka akan menerima padah yang sama seperti bekas majikan anda, dicerca dan dikritik.

 

 

39) PANAS BARAN

 

Sekiranya anda diprovakasi oleh penemuduga jangan sesekali mudah hilang sabar. Kawal perasaan anda.

 

Penemuduga sebenarnya ingin mencuba anda seorang yang penyabar atau tidak. Penemuduga akan melihat sama ada anda boleh mengawal emosi anda ketika menghadapi tekanan.

 

Tarik nafas perlahan-lahan dan jawab sebaik mungkin dengan penuh sabar.

 

 

40) TENGOK JAM TANGAN

 

Jangan sesekali berbuat sedemikian. Penemuduga akan melihat anda seperti tergesa-gesa untuk keluar dari bilik temuduga. Anda seperti kurang berminat untuk ditemuduga.

 

Penemuduga akan rasa terganggu dan dengan senang hati mereka akan melepaskan anda pergi. Penemuduga tidak kisah sekiranya anda hendak cepat tetapi anda seperti menggali kubur anda sendiri kerana anda sudah pasti tidak akan dipilih.

 

 

41) AKU, TIDAK ADA ORANG LAIN !

 

Kerja berpasukan lebih elok daripada berseorangan. Jangan sesekali menyatakan bahawa anda boleh melakukan kerja secara berseorangan tanpa bantuan orang lain. Ini membahayakan diri anda.

 

Kerja berpasukan adalah wajib bagi menjayakan sesuatu kerja. Jangan sesekali menyatakan hanya anda yang membuat kerja tersebut.

 

Penemuduga lebih senang sekiranya anda menyatakan anda membuatnya secara berpasukan. Anda bukan sahaja boleh dilihat sebagai mudah bekerjasama, berkomunikasi malah turut boleh menonjolkan watak kepimpinan anda.

 

 

42) MAHU NAIK PANGKAT CEPAT

 

Jangan sesekali menyatakan hajat anda untuk naik pangkat dengan cepat di tempat bakal majikan anda.

 

Anda jangan sesekali menanyakan peluang anda untuk mengisi jawatan yang lebih tinggi pada masa hadapan kelak.

 

Tindakan anda seperti mencabar kedudukan penemuduga yang kemungkinan juga berhajat untuk naik pangkat. Penemuduga akan menganggap anda sebagai satu ancaman dan semestinya penemuduga tidak akan memilih anda yang bakal menggugat cita-cita beliau.

 

Oleh itu, simpan sahaja hasrat anda dan kawal perasaan ghairah anda.

 

 

43) TIDAK MATANG

 

Anda diminta bersikap matang ketika di dalam bilik temuduga.

 

Tunjukkan diri anda sebagai seorang bakal pekerja yang berkaliber dan mempunyai daya kepimpinan yang tinggi.

 

Namun sekiranya anda ditanya oleh penemuduga sekiranya anda boleh dihantar ke pendalaman berseorangan diri untuk kerja luar atau bekerja pada sebelah malam, jangan sesekali memberi jawapan yang menunjukkan ketidakmatangan anda seperti:

 

“Tak boleh. Saya ini takut pergi jauh-jauh seorang diri. Emak saya tak bagi” atau “Saya takut kerja malam. Saya ini lemah semangat dan takutkan hantu.

 

AWAS!!! Jawapan ini bakal menggagalkan diri anda.

 

 

44) ANAK EMAK, ANAK BAPA

 

Jangan sesekali menyatakan yang anda memerlukan keputusan ibu bapa anda terlebih dahulu dalam membuat sesuatu keputusan.

 

Anda telah berjaya menghadapi semua soalan penemuduga dengan jayanya. Namun, soalan terakhir membuatkan anda gagal seperti:

 

“Tahniah. Kami rasa anda seorang calon yang terbaik setakat ini. Sekiranya kami menerima anda bekerja dengan jabatan ini, kami akan tempatkan anda di pendalaman Sarawak.”

 

Anda menjawab “Terima kasih. Saya akan berbincang dengan ibu bapa saya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan”.

 

Anda GAGAL. Anda sebenarnya belum terpilih kerana soalan itu sebenarnya menguji ketahanan diri anda. Anda dianggap sebagai masih seorang anak dibawah ketiak emak kerana tidak mampu untuk membuat keputusan sendiri.

 

 

45) ENGGAN BERPINDAH

 

Sama seperti soalan di atas, penemuduga akan bertanya kepada anda “Sekiranya dalam setahun anda berkhidmat, anda dipindahkan ke mana-mana cawangan syarikat, anda setuju?” Anda seorang yang tidak suka berpindah-randah namun demi pekerjaan ini jangan sesekali menjawab “tidak mahu”

 

 

46) TIDAK MAHU BERMULA DARI BAWAH

 

Calon-calon kebanyakkannya memilih pekerjaan. Mereka enggan untuk menerima pekerjaan yang rendah tarafnya dengan sijil milik mereka.

 

Sekiranya anda pergi memohon pekerjaan ke sesuatu syarikat dan dipanggil untuk temuduga anda seharusnya bersyukur diberikan peluang untuk mencari rezeki yang halal.

 

Setelah selesai temuduga, syarikat tersebut menawarkan anda bekerja. “Tahniah encik. Anda diterima untuk menjadi sebahagian daripada syarikat ini.

 

Namun, untuk makluman encik buat masa sekarang belum ada jawatan yang sesuai dengan kelayakan seperti encik. Buat sementara waktu encik ditawarkan bekerja sebagai kerani.”

 

Anda terus menunjukkan muka terkejut dan berang sambil menyatakan bahawa anda belajar tinggi-tinggi tetapi bekerja sebagai kerani sahaja.

 

Jangan sesekali berbuat demikian!

 

Anda tidak tahu niat mereka sebenarnya. Kemungkinan mereka mahu anda belajar selok-belok syarikat tersebut terlebih dahulu dan ada kemungkinan juga tidak lama lagi ada pegawai yang akan bersara.

Anda akan menggantikan tempat pegawai tersebut setelah banyak ilmu yang anda timba di syarikat tersebut.

 

Tindakan anda yang enggan bermula dari bawah sebenarnya merugikan anda.

 

 

47) MEMINTA-MINTA

 

Anda seorang pegawai kanan di tempat majikan anda sekarang dan anda memohon jawatan yang lebih tinggi di syarikat lain. Anda telah dipanggil untuk menghadiri temuduga.

 

Walaupun anda berjawatan pegawai kanan ketika sesi temuduga anggaplah diri anda sebagai seorang yang baru mencari pekerjaan.

 

Jangan disebabkan status anda sebagai pegawai kanan anda meminta sesuatu yang bukan-bukan. Ada calon yang meminta sebuah kenderaan disediakan, sebuah rumah, sebuah bilik pejabat yang besar, tempat letak kenderaan dan macam-macam lagi. Jangan buat sedemikian.

 

Anda bukan sahaja gagal temuduga tersebut malah anda menjatuhkan imej anda sebagai seorang pegawai kanan.

 

 

48) ANDA JADIKAN SESI TEMUDUGA SEPERTI PASAR

 

Jangan sesekali menjadikan sesi temuduga tersebut seperti pasar. Walaupun anda mengenali penemuduga tersebut sila bersikap professional.

 

Jangan ada tawar-menawar seperti berada di pasar. Ada calon berkata sedemikian, “Takpe la. Saya terima je gaji yang kamu tawarkan. RM2000 cincai. Ok kan.” Tolong jangan buat sedemikian.

 

 

49) SAMBIL LEWA KETIKA TEMUDUGA KEDUA

 

Amat jarang sekali adanya temuduga kedua namun sila bersedia.

 

Kemungkinan sesi temuduga pertama hanya dikendalikan oleh Pengawai Sumber Manusia dan Ketua Unit yang berkenaan. Sesi temuduga kedua pula dikendalikan oleh Ketua Jabatan, Ketua-ketua Bahagian dan Pegawai-pegawai Kanan.

 

Ada calon yang terlalu yakin dan bersikap sambil lewa ketika temuduga kedua dilangsungkan. Calon-calon temuduga amat yakin mereka akan diterima bekerja kerana lulus temuduga pertama dan tidak membuat persiapan untuk temuduga kedua.

 

Jangan sesekali berbuat sedemikian kerana temuduga kedua teramat penting. Anda akan bertemu dengan orang penting Jabatan berkenaan iaitu Ketua Jabatan dan Pegawai kanan yang lain.

 

Anda seharusnya mengambil inisiatif untuk meyakinkan mereka dan jadikan mereka tertarik untuk mengambil anda. Tampilkan bakat, gaya, imej yang meyakinkan.

 

Tunjukkan yang anda bakal seorang pekerja yang boleh memikul tugas yang diharapkan.

 

 

50) TIADA TINDAKAN SUSULAN

 

Secara puratanya calon temuduga jarang sekali mengambil tindakan susulan setelah selesai temuduga.

 

Ambillah sedikit inisiatif mengucapkan terima kasih atau bertanya khabar penemuduga anda walaupun anda tidak terpilih. Hantarlah surat, kad atau bunga kepada penemduga.

 

Penemuduga merasakan anda benar-benar ingin bekerja dan mereka akan merasa dihargai. Kemungkinan jika anda ada rezeki penemuduga tersebut akan memanggil anda untuk lain-lain jawatan kosong pada masa hadapan.

 

Harap informasi ini membantu anda.

Jika anda ingin lebih banyak maklumat terkini, tips terkini contoh panduan peperiksaan SPA, tips terkini panduan temuduga, jadual terkini perperiksaan SPA dan pelbagai maklumat kerja kerajaan, sertai kami percuma. Maklumat akan terus ke email anda.

 

 

 

 

#Kerja Kerajaan

exam ptd, kerja kerajaan, pegawai tadbir diplomatik, pegawai kastam, jururawat, peperiksaan SPA, www.spa.gov.my, suruhanjaya perkhidmatan awam, temuduga kerajaan, temuduga penguasa kastam, temuduga penguasa kastam, temuduga pegawai, exam online, tips temuduga ptd, online matematik, kerjaya di malaysia, online exam tips, jadual exam, tips terkini, online exam, question paper, rahsia lulus temuduga kerajaan, contoh soalan PTD, exam ptd 2014, exam ptd online, peperiksaan online ptd, ptd 2014, soalan ptd